Kolagen rahsia awet muda?
KULIT gebu dan tegang, hidung mancung dan pipi yang montok menjadi
impian kebanyakan sebahagian wanita. Kemudian, tanya pula pada mereka
tentang kecantikan, semestinya jawapan yang diberi mereka ingin memiliki
wajah yang cantik, kulit licin dan tidak berkedut.
Tetapi mustahil untuk kekal cantik tanpa kulit berkedut seiring
peningkatan usia kerana semakin berusia kulit semakin kurang anja,
kering dan kusam.
Oleh itu kita lihat wanita-wanita dahulu gemar mengambil ulam-ulaman
dan sayur-sayuran berkhasiat untuk mengekalkan awet muda dan keserian
wajah.
Situasi ini sedikit berbeza dengan zaman sekarang kerana pelbagai
makanan tambahan, ubatan dan rawatan tertentu dihasilkan untuk membantu
mereka memiliki kulit yang cantik, salah satunya adalah kolagen.
Keberkesanan kolagen dari segi kesihatan juga terbukti dari kajian
yang menunjukkan orang Okinawa, Jepun adalah antara manusia yang paling
ramai mempunyai purata hidup melebihi umur 100 tahun. Buktinya, adalah
salah satu diet dan pemakanan seharian mereka adalah memakan kolagen
dari urat dan kaki babi.
Pengamal Perubatan Estetik dari Klinik De Palma, Ampang, Selagnor, Dr. Mohd. Nasir Othman berkata, kolagen adalah unsur yang wujud di sekeliling sel untuk meletakkan sel pada tempatnya.
"Terdapat 28 jenis kolegen dalam badan manusia dengan purata 30
hingga 40 peratus berperanan membantu kulit kekal cantik dan muda selain
fungsi berkaitan kesihatan tubuh.
"Kolagen penting untuk penjagaan wajah kerana jika kandungan kolagen
dalam badan berkurang menyebabkan wajah tidak cantik seperti timbul
masalah kedutan, jerawat, kulit tidak tegang dan sebagainya," katanya.
Tambahnya lagi, perkembangan yang berlaku sekarang makin ramai wanita
yang mengambil kolagen sebagai makanan dan melakukan suntikan.
Namun masih belum ada banyak kajian yang mengatakan bahawa mengambil kolagen akan menyebabkan kulit menjadi tegang dan cantik.
"Kajian memang ada, tetapi tidak banyak. Contoh kajian yang terkini
adalah kolagen yang dihasilkan daripada tulang ayam, jika ada pun masih
tidak banyak kajian yang dilakukan tentang keberkesanannya.
"Kolagen yang dijamin berkesan sekarang ini adalah kolagen melalui
suntikan. Kolagen melalui suntikan pula masalahnya adalah tidak halal.
Kolagen yang paling popular adalah dari babi dan lembu.
"Walaupun kolagen dihasilkan dari lembu tetapi kerana ia tidak disembelih ia juga tidak halal kepada pengguna muslim. " katanya.
Ujarnya lagi, ada kajian yang dilakukan terhadap kolagen rumpai laut
iaitu secara suntikan berkesan untuk mengubati penyakit sendi tetapi
masih belum terbukti keberkesanannya untuk kulit wajah.
"Tidak ada kajian tentang kebaikan kolagen yang dijual di pasaran dan
kolagen rumpai laut kepada wajah. Ia hanya terbukti keberkesanannya
melalui testimoni pengguna yang menggunakannya.
"Apabila tidak banyak kajian, pengguna perlu lebih prihatin untuk
menggunakannya dengan tidak memakai dan makan secara sembarangan kerana
pengambilan tanpa pengawasan mempunyai risiko untuk dijangkiti penyakit
dan alahan," kata Dr. Mohd. Nasir.
Tambahnya lagi, kalau setakat makanan seperti rumpai laut ada
kemungkinan selamat, tetapi apabila bahan tersebut telah melalui proses
pengawetan ditakuti mempunyai bahan kimia yang berbahaya kepada kulit.
"Setakat makan rumpai laut sahaja tidak ada masalah kerana ia adalah
bahan semulajadi seperti juga ia menjadi makanan harian oleh penduduk
Korea.
"Namun, dari segi keberkesanan kolagen tersebut mungkin kurang. Jika
ingin mengambilnya dalam jangka masa pendek tiada masalah. Tetapi jika
pengambilannya dalam jangka masa panjang belum diyakini keberkesanan dan
keselamatan kerana terdapat sebahagian ubat apabila melebihi lima tahun
baharu diketahui bahawa ia tidak selamat untuk digunakan," katanya.
Menurut beliau, pada masa ini memang terdapat beberapa syarikat
mengeluarkan produk kolagen dan membuat kajian tentangnya kepada
pesakit-pesakit yang terlibat.
"Selepas pesakit tersebut menjalani rawatan beberapa bulan didapati
kulit mereka semakin cantik dan tegang. Kaedah tersebut boleh diyakini
dan diterima keberkesanannya," katanya.
Menurut Dr. Mohd. Nasir, disebabkan suplemen kolagen yang diambil
belum terbukti keberkesanannya secara saintifik hanya bersandarkan
kepada pengakuan pengguna, cara yang paling ideal adalah dengan cara
semulajadi iaitu melalui penghasilan kolagen sendiri oleh sistem dalam
badan.
"Kurangkan pendedahan kepada cahaya matahari atau memakai krim
perlindungan cahaya matahari dengan SPF 30 ke atas, tidak merokok,
mengamalkan waktu tidur yang cukup dan melakukan senaman pada wajah
untuk hasilkan kolagen baharu.
"Kolagen baharu juga boleh dihasilkan pencuci muka dan skrub, yang
mana sel-sel kulit mati akan tanggal bagi memberi ruang pertumbuhan
kolagen dan sel baru.
"Selain itu, kaedah rawatan laser dan IPL ( Intanse Pulse Light) juga
antara rawatan berkesan untuk mencantikkan kulit. Kedua-duanya seperti
cahaya, apabila ditembak pada kulit, kolagen pada kulit akan pecah.
Kolagen yang pecah ini dipanggil peptide yang akan menghantar isyarat
kepada fibroblase yang berfungsi menghasilkan kolagen baharu," kata Dr. Mohd. Nasir.
Tambahnya, sekarang sudah wujud krim yang ada peptide di dalamnya
iaitu sejenis molekul kecil apabila di sapu pada kulit akan meresap
masuk ke dalamnya.
"Kesannya kulit akan menjadi lebih tegang dalam jangka masa yang
singkat. Selalunya, sel-sel baharu akan mengambil masa sebulan untuk
hasilkan kolagen baru," katanya.
Beliau menambah, kekurangan kolagen dalam badan juga menyebabkan timbul penyakit scurvy dan ostoejenesis imperteta iaitu akibat kekurangan vitamin C dalam badan.
Penyakit ini menyebabkan muka menjadi cengkung dan kekurangan kolagen dalam badan yang menyebabkan tulang rapuh dan mudah patah.